Blog

FOUNDER PERNAH DILANDA KEMURUNGAN

Date: November 16, 2019 Harian Metro

Dikurniakan wajah mulus dan jelita, senyum manis sering menghiasi wajah ibu muda ini tapi mungkin ramai yang tidak menyangka dirinya pernah terpalit dengan masalah kemurungan. Wanita ini mungkin dilihat di ambang kejayaan bahkan pada usia begitu muda namanya sudah popular di Pantai Timur kerana pencapaian luar biasa dalam perniagaan.

Namun, tahun lalu semuanya berubah selepas Wan Nur Siti Aisyah Wan Hasan,23, didiagnosis dilanda kemurungan tahap dua kerana mengalami tekanan melampau akibat kejatuhan perniagaannya.

Gara-gara mempercayai rakan, sekelip mata wanita ini kehilangan segalanya, setelah dianiayai oleh rakan baik sendiri hingga jatuh terduduk.

Rutin hariannya berubah, bahkan Wan Nur Siti Aisyah tidak mampu menguruskan syarikat dan dia mengambil keputusan untuk berehat.

 

” Ketika itu saya asyik menangis, kerap termenung, dan sampai satu peringkat saya menjauhkan diri daripada semua orang  kerana teralu tertekan”

“Mujur suami Al-Hafiz Zakaria,31, yang bantu untuk uruskan syarikat tapi dia juga perlu beri perhatian menguruskan perniagaannya sendiri”

“Saya tidak boleh tidur dan terpaksa dibekalkan dengan ubat tidur dan kemurungan,berkat sokongan suami dan keluarga saya bangkit sebagai orang baru yang lebih bersemangat,” katanya.

 

 

Ikuti soal jawab WM bersama wanita muda berwawasan yang juga pengasas Shalicious Empire ini dalam berkongsi suka duka dan kekuatannya untuk bangkit semula selepas kejatuhan.

Soalan (S) : Bagaimana anda boleh bangkit selepas didiagnosis mengalami kemurungan?

Jawapan (J) : Ketika fasa kemurungan, saya langsung tidak boleh fokus menjaga anak hinggakan dia tidak dapat kasih sayang secukupnya daripada saya. Saya jadi pendiam tidak boleh tidur dan hanya mahu menyendiri. Banyak dugaan terpaksa dihadapi dalam usia yang terlalu mentah. Tapi saya tidak putus asa, saya pergi dapatkan rawatan, belajar agama dan dekatkan diri dengan Allah hinggalah saya jadi lebih tenang dan reda. Allah sudah bagi saya kejayaan pada usia 19 tahun dan ujian ini mungkin kecil berbanding orang lain yang paling teruk diuji. Alhamdulillah saya cuma ambil setahun untuk pulih dan bangkit kembali.

(S) : Bagaimana anda mulakan hidup selepas diuji dengan penyakit kemurungan?

(J) : Tahun ini saya mulakan semuanya daripada kosong dan hikmah daripada ujian ini. Saya jadi orang baru, lebih banyak bersedekah dan  menginfakkan sebahagian keuntungan kepada masyarakat yang memerlukan. Saya mulakan inisiatid Shalicious Charity dan mencari rumah tahfiz untuk ditaja selain turut bawa kakitangan turun padang ke kampung mencari orang susah untuk diberikan bantuan. Pengalaman melihat sendiri kesusahan orang lain benar-benar menginsafkan dan menjadikan saya insan yang lebih bersyukur.

(S) : Ceritakan bagaimana anda memulakan kerjaya dan berkahwin pada usia muda.

 (J) : Saya berkahwin pada usia baru 19 tahun namun sebenarnya saya dan suami bercinta selepas nikah. Suami adalah rakan sekolah saya dan tidak pernah menjalin hubungan istimewa sebelum ini. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya buat pelbagai kerja dan menjual produk orang untuk mendapat duit. Selepas itu, saya lanjutkan pelajaran di kolej dan ketika itu saya mula serius menjual produk sendiri. 

Permintaan tinggi produk di serata negeri memerlukan saya berulang alik dari Kelantan dan Kuala Lumpur dan negeri lain, jadi saya minta rakan (kini suami) untuk menemankan saya kerana risaukan keselamatan diri. Disebabkan kerap keluar bersama kerana urusan perniagaan, keluarga minta kami untuk berkahwin kerana tidak manis dipandang dan kami akur. Memang mulanya ambil masa nak sesuaikan diri sebab perhubungan atas dasar rakan baik saja. Tapi apabila kahwin rezeki melimpah ruah. 

 

(S) : Cabaran dan harapan anda pada masa depan?

(J) : Berniaga memang sangat memenatkan. Orang nampak saya senang dan hidup selesa, tapi mereka tidak tahu betapa banyak keringat dan airmata sudah dilimpahkan untuk capai impian. Saya berazam pada umur 30 tahun mahu bersara, sebab itu saya berusaha keras. 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Back to list

One thought on “FOUNDER PERNAH DILANDA KEMURUNGAN

  1. siti ruhaida says:

    Gud luck sha hassan. Teruskan impian dgn melebarkan empayar sedia ada..bantu orang yg memerlukan dgn rezeki anda adalah amalan terpuji..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *